Welcom to My Blog

Thursday, 7 January 2016


Cinta dalam Sangkar



Apa erti cinta?
adakah kau punya cinta?
cinta sejati... maksudnya?
mampu kau bertahan demi cinta?
bahagiakah?
luka itu pasti ada
cemburu itu perlu ada
yang penting kekuatan hati..

Kalau cinta mampu bicara
mungkin kau fahami setiap butirnya
mungkin pedih yang melarat
jika cinta mampu bertahan
ia akan berkekalan tanpa noktah
segenap cinta hanyalah untukmu.

Disinilah kasih aku bicara
terasa perihnya untuk bernafas
mahu sahaja terbang bebas
namun satu yang terlintas
hanya untuk hidup masa kehadapan
cinta yang tulus sanggup kukorbankan

Apa sahaja butir tuturmu
itu sahaja perlu kuturuti
demi kebahagiaan kamu
aku merelakan biarkan sahaja.

Sunday, 4 January 2015

SINAR KEGELAPAN





Ketika jiwa di tengah kepayahan
nafsu merenggut seluruh fikiran
ketika tiada lagi yang mampu bersinar
semua terasa sepi, sunyi tanpa suara.

Dalam getir dunia kehidupan
masih ada yang hanyut dibawa arus
dalam mengenal erti kepayahan
jiwa merobek setiap insan.

Kehidupan bagaikan sebuah dosa
mereka hanya bebanan dunia
memamah segala jiwa raga
tiada balang secebis cahaya.

Hati mereka sudah gelap
hati mereka rapuh dengan godaan
tidak mengenal erti dosa pahala
bangkitlah kaum Adam dan Hawa
bertaubatlah sebelum lena
semoga diampuni olehNya..

Saturday, 20 December 2014

PANTUN 6 KERAT

Godaan nafsu amat ditakuti,
Nanti hidup takkan sempurna,
Perkara mungkar perlu dijauhi,
Janganlah kita cuba menderhaka,
Nasihat ibu bapa perlu dipatuhi,
Agar menjadi insan berguna.

Buah pauh enak dimakan,
Manis rasanya tidak terhingga,
Buahnya leper serta bujur,
Untuk hidup mendapat keberkatan,
Berbuat baiklah sesama kita,
Hidup aman negara makmur.

Daun selasih untuk dimakan,
Makan bersama dengan budu,
Dibuat hidangan di malam hari,
Jika masih memberi harapan,
Hidup bersama mendapat restu,
Supaya hubungan akan diberkati.

Banyak manusia banyak ragam,
Berbeza segi warna kulitnya,
Jangan dipandang rupa paras,
Hidup kita banyak pantang larang,
Perlu patuh perintah Tuhan,
Hidup diberkati sampai mati,
Amalan kita menjadi tuntutan.

Bermain bola di atas padang,
Tergolek jatuh rebah tersungkur,
Rasa sakit tidak tertahan,
Jangan buat benda terlarang,
Kita hidup perlu bersyukur,
Dengan rahmat kurniaan Tuhan.

Hujan turun dengan lebat,
Mencurah-curah jatuh ke bumi,
Hasil tanaman menjadi subur,
Anugerah Tuhan amatlah hebat,
Sebagai hamba perlulah kagumi,
Jangan menjadi insan takbur.

Jalan kaki berbatu-batu,
Pergi mencari si anak kuda,
lepas lari terus hilang,
Ingatlah pesanan ibu,
Menuntut ilmu amalan mulia,
Bila tua barulah senang .

Rama-rama berwarna terang,
menjadi pelakon sebalik tabir,
bermain bola di tepi perigi,
selama tuan di rantau orang,
ubat jauh penyakit hampir,
sakit ditanggung seorang diri .

PANTUN 4 KERAT

Orang ramai bersenam pagi,
Suara burung di atas dahan,
Tenang damai di dalam hati,
Rasa untung negara aman.

Burung terbang beratus-ratus,
Di pantai sana mencari rezeki,
Air di cincang tak akan putus,
Pisah di mata satu di hati.

Dari sana ku sampaikan pesan,
Pesan dibawa ke mana sahaja,
Sopan santun menjadi ikutan,
Itulah satu amalan mulia.

Harum baunya  bunga mawar,
Pahit rasanya buah hempedu,
Masa jujur disangka penawar,
Rupanya racun di dalam madu.

Layang-layang terbang berkawan,
Riuh kicauan bingit telinga,
Kerana sayang ku sampaikan pesan,
Buat ingatan saudara tercinta.

Bila bercakap berjaga-jaga,
Jangan menyinggung perasaan orang,
Jiwa dan maruah perlulah dijaga,
Jangan menyimpang benda terlarang.

Sungguh tersentuh rasa hati,
Bila teringat kampung halaman,
Sudah terjatuh tergolek mati,
Hendak menghiasi bunga di taman.

Pucuk ubi di buat ulam,
Daun pisang  di bungkus nasi,
Tak kira siang tak kira malam,
Dengan kawan sentiasa berkomunikasi.

Lemah lembut bila berkata,
Memikat hati si gadis manis,
Jika kita orang yang berharta,
Jangan sombong dan bengis.

Hendak makan, makanlah buah,
Biar sihat anggota badan,
Hendak jaga, jagalah maruah,
Itu nasihat menjadi ikutan.

Daun pandan di tepi paya,
Harumnya wangi memikat hati,
Hendak pandai perlulah berjaya,
Anak berguna akan dihormati.

Berusaha gigih menuntut ilmu,
Untuk berjaya, harapan ibu bapa,
Berusaha teguh hendaklah kamu,
Adat dan budaya tidak dilupa.

Naik kereta pergi ke pekan,
Singgah sekejap membeli ikan,
Janji dikota perlu ditunaikan,
Agar hidup mendapat kebaikan.

Rebus ubi di atas para,
Buat hidangan petang hari,
Jika ingin terus berjaya,
Rajinlah belajar setiap hari.

PANTUN 2 KERAT

Rajin membaca satu daya,
Perlu berusaha untuk berjaya.

Hati-hati bermain cinta,
Maruah diri perlulah dijaga.

Buat ketupat sebelum puasa,
Orang mengumpat mendapat dosa.

Hari-hari makan nasi ayam,
Rajinkan diri memberi salam.

Orang merempat di tepi loji,
Perbuatan mengumpat sungguh keji.

Berbalas pantun dengan spontan,
Bersopan-santun menjadi ikutan.

Azan bergema di masjid sana,
Belajar agama amat berguna.

Tanam kangkung bersama halia,
Tolong-menolong amalan mulia.

Buah selasih dimain-mainkan,
Terima kasih perlu diucapkan.

Buah delima dikerat-kerat,
Jangan lupa ilmu akhirat.

Buah berangan dibelah-belah,
Hidup jangan berpecah belah.

Kayuh basikal kuat-kuat,
Orang cekal amat hebat.

Naik perahu sambil berdiri,
Kita perlu hidup berdikari.

Jaga berat jaga pemakanan,
Jagalah aurat jagalah amalan.

Wednesday, 17 December 2014


KEMANA ARAH TUJU

Kehidupan manusia semakin hancur,
dunia makin goyah,
peradaban semakin di lupakan,
jati diri kian hancur dimamah usia.

Ke mana hilangnya semua ini?
diceruk desa?
dikesibukan kota?
argh… aku sendiri kian tidak mengerti
dengan semua ini!

Kesenian yang dulunya dipandang tinggi,
kini dilupakan dengan budaya barat,
bahasa yang dulunya indah kini dicampur menjadi rojak,
apakah semua ini?

Aku remaja desa yang mula tidak  mengerti kan semua ini,
kenapa, yang asing juga kau puja?
kenapa yang asing juga kau julang?
dan kenapa yang asing juga kau martabatkan?
betapa ceteknya pemikiran anak Melayu masa kini.


AKU PUNYA JIWA

Koyak rabak hatiku melihat si dia
berlinang air mataku menyembah bumi
tidak tertahan nan rasa di hati
tidak sanggup ku membiarkan terjadi
kejam sungguh kelakuan manusia itu.

Aku punya jiwa, aku punya perasaan
walau ia ditendang, diusir dari jauh
walau ia hamba Allah yang lemah
ia datang tanpa diundang, berbuat baiklah
ia datang mengadu nasib,berikanlah
luluh hatiku mengenangkan nasibnya.

Ia binatang yang terbiar
kuambil, kubelai bulu kusutnya
kujaga penuh kasih sayang penuh pengharapan
agar ia sihat selamat dan tidak dikhianati
agar ia pembuka pintu rezeki.